Stats

 

Najib umum kadar gaji minimum

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak malam ini mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan bagi Semenanjung dan RM800 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.

Perdana Menteri berkata, kadar yang bersamaan dengan RM4.33 sejam bagi Semenanjung dan RM3.85 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi kecuali perkhidmatan domestik termasuk pembantu rumah dan tukang kebun.
Katanya, tarikh kuat kuasa pelaksanaan kadar gaji minimum itu ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.
"Bagaimanapun, untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil atau 'micro enterprises' membuat persediaan sepenuhnya supaya peniagaan mereka tidak terjejas, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

"Pengecualian 12 bulan ini tidak meliputi firma profesional seperti klinik pergigian dan perubatan, firma guaman, firma arkitek, firma juru perunding dan sebagainya walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima orang atau kurang, mereka perlu mematuhi gaji minimum dalam masa enam bulan," katanya pada majlis makan malam pekerja dan majikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini sempena Hari Pekerja esok.

Najib berkata, kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500.

Namun, katanya, untuk permulaan sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.
"Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing. Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.

"Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional," katanya.

Najib berkata, kerajaan juga sedar bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah itu.

"Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara," katanya.

Perdana Menteri berkata, untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri berkenaan dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung.

"Kadar gaji minimum yang ditetapkan itu tidak akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara," katanya. sumber dari: berita harian online


-(Back Home)- - JT.Blogshop